sukan

‘Penyakit’ yang sebabkan TFC hilang slot separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN

Penyakit hilang fokus pada suku terakhir perlawanan menyaksikan Terengganu FC (TFC) berputih mata gagal ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN musim ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan A menentang kelab Thailand, BG Pathum United di Stadium Pathum Thani malam tadi, skuad Penyu tumpas 4-3 sekali gus meleburkan impian untuk menghuni dua tangga teratas kumpulan.

Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali individu paling kecewa selepas anak buahnya terkulai biarpun mendahului hasil jaringan pemain sayap, Akhyar Rashid pada minit ke-66.

Beliau berkata, pemainnya berpeluang untuk menjaringkan gol terutama pada babak pertama, namun penyudah tumpul menyaksikan skuad itu pulang tangan kosong.

“Kami bermula dengan baik seperti dirancang hingga memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama, namun gagal.

“Pada babak kedua, pemain terus memberikan tekanan kepada tuan rumah untuk memburu jaringan sebelum berjaya memecah kebuntuan, saya begitu berpuas hati dengan corak permainan mereka.

“Namun pada 25 minit terakhir saya lihat pemain hilang fokus serta melakukan kesilapan sekali gus membuka ruang buat kelab Thailand itu menjaringkan empat gol berturut-turut.

“Bagaimanapun saya memuji sikap tidak berputus asa pemain yang bangkit untuk menyamakan kedudukan hingga hujung perlawanan, namun ia sudah terlambat.

sumber:- BH

“Dua tahun berturut-turut beraksi di pentas ASEAN dan Piala AFC pada musim 2023, bagi saya ini pengalaman yang begitu berharga buat pemain untuk belajar dan kembali bangkit,” ujar Badrul Afzan.