Sri Pahang FC akan membuat rayuan berhubung penggantungan pemain importnya, Kpah Sherman selepas mengutip kad kuning kedua pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia, kelmarin.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, rayuan itu untuk memastikan penyerang berasal dari Liberia itu dapat beraksi pada final trofi berprestij itu berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April depan.
“Kita akan cuba membuat rayuan untuk membolehkan Sherman bermain di pentas final. Lagipun, dia sudah bermain sejak awal saingan lagi dan jika tidak bermain di final, tidak cantiklah.
“Namun, jika dia buat silap atau melakukan kekasaran pada perlawanan separuh akhir kedua itu, kita terima (keputusan),” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Kelmarin, Sri Pahang yang menewaskan Sabah FC 2-1 pada separuh akhir kedua dengan agregat 3-2 terpaksa membayar harga mahal apabila Sherman yang meledak gol kemenangan dilayangkan kad kuning dan yang kedua dalam saingan Piala Malaysia.
Justeru, Skuad Tok Gajah kehilangan penyerang berbisa itu sekali gus tugas berat menanti mereka apabila berdepan JDT yang juga juara bertahan.
Pada masa sama, Sri Pahang tidak dapat menyenaraikan pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo kerana dia berstatus pinjaman daripada skuad Harimau Selatan.
sumber:- BH
Mahu atau tidak, Fandi perlu membentuk pasukan yang lebih padu dalam tempoh tiga bulan akan datang jika mahu merampas kembali Piala Malaysia yang dimenangi pada 2014.