sukan

Penyingkiran Selangor FC berikan lebih banyak ‘rahmat

Penyingkiran Selangor FC (SFC) daripada saingan Piala Malaysia ke Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebenarnya memberikan lebih banyak ‘rahmat’ kepada gergasi bola sepak tempatan itu.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu berjaya melangkah ke final Piala Cabaran MFL sekali gus memberikan bukan satu tetapi dua kesempatan untuk dilunaskan dengan PDRM FC menjadi halangan terakhir daripada mendakap trofi terbabit.

Sekiranya mereka berjaya menjulang trofi berkenaan, ini adalah trofi pertama buat mereka dalam tempoh sedekad selepas kali terakhir memenangi trofi iaitu Piala Malaysia 2015.

Malah, mereka akan mencipta sejarah tersendiri sebagai pasukan pertama dalam Liga Malaysia (Liga M) memenangi semua trofi domestik yang ditawarkan sama ada dalam saingan liga ataupun pertandingan piala.

Saingan Piala Cabaran MFL baru diperkenalkan, dengan hanya tiga pasukan pernah memenanginya iaitu Terengganu FC II (TFC II), Johor Darul Ta’zim (JDT II) dan PDRM FC.

Namun tiga pasukan itu belum memenangi trofi utama lain dan kini SFC tinggal selangkah untuk melengkapkan ‘kepingan baharu’ dalam koleksi mereka.

Dalam kabinet penuh bersejarah mereka, Selangor sudah menghimpun kejuaraan divisyen satu, divisyen dua, divisyen tiga, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Mereka menjulang enam kejuaraan divisyen satu membabitkan saingan Liga Malaysia, Liga Separuh Pro Bahagian 1, Liga Perdana, Liga Perdana 1 dan Liga Super namun kali terakhir memenanginya adalah pada 2010.

Red Giants juga memenangi dua kejuaraan divisyen dua dikenali sebagai Liga Separuh Pro Divisyen 2, Liga Perdana 2 dan Liga Perdana selain merangkul lima kejuaraan Piala FA – pemenang gelaran terbanyak bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mereka juga mencipta rekod pemenang Piala Malaysia terbanyak dengan 33 gelaran dan tujuh gelaran Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

sumber:- BH

Lapan kejuaraan Sumbangsih turut dimiliki mereka sekali gus menjadikan mereka antara pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak tempatan.