sukan

Peluang JDT tebus aib

Selepas misi ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut membuahkan hasil, kini Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali memberi tumpuan kepada saingan Liga Super apabila melayan kunjungan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pertembungan skuad kendalian Hector Bidoglio menentang barisan P Maniam dilihat menarik kerana skuad Harimau Selatan pastinya mahu menebus kekecewaan selepas pasukan The Cops mengikat mereka 1-1 pada aksi di Stadium Selayang, 31 Julai lalu.

Apapun Bidoglio enggan melabelkan perlawanan itu sebagai aksi membalas dendam sebaliknya mahu meneruskan rentak kemenangan bagi berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga kali ke-11 berturut-turut.

“Kami harus berwaspada dengan taktik permainan pasukan lawan kerana mereka dibarisi pemain yang baik dan kerap bermain secara pantas dan mengelirukan.

“Mereka juga bermain dengan taktikal serangan balas dan kami harus berwaspada mengenainya dengan anda boleh lihat bagaimana mereka bangkit untuk tewaskan Kedah pada aksi separuh Piala Cabaran, baru-baru ini.

“Apapun, kami perlu fokus kepada diri sendiri dan kami tidak boleh berada dalam keadaan selesa, sebaliknya beraksi dengan lebih agresif untuk misi kemenangan,” katanya.

Seandainya JDT berjaya mengutip tiga mata, maka mereka hanya perlu melakar satu lagi kemenangan untuk dinobat selaku juara liga dan kelibat Bergson da Silva juga menjadi tumpuan sama ada mampu menambah jaringan tatkala sudah meledak 23 gol dalam saingan liga.

“Secara matematik jika kami menang ke atas PDRM maka kami perlu menang satu lagi perlawanan menentang Perak FC pada hujung bulan ini untuk julang kejuaraan liga tapi kami enggan terlalu gopoh sebaliknya mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan.

“Ia perlawanan yang penting bagi kami, bukan sahaja untuk menang tapi sentiasa memperbaiki taktikal permainan yang lebih efektif dengan mengekalkan intensiti permainan yang lebih baik dan bermain secara kompak.

sumber:- BH

“Malah kami perlu bermain secara berpasukan dan mengawal permainan tanpa memberi ruang kepada pasukan lawan bergerak bebas dan itu semua penting jika mahu memastikan kemenangan memihak JDT,” ujar Bidoglio.