sukan

Kinoshi pelik reaksi penyokong Selangor

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tiada jawapan mengapa penyokong Red Giants ‘membisu’ sepanjang aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran menentang Penang FC malam tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, ‘pemain ke-12’ tuan rumah dilihat senyap sehinggalah gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Alvin Fortes pada minit 66, dan selepas itu barulah suasana kembali riuh.

Jelas Kinoshi, hanya satu sahaja formula untuk ‘mengubati’ masalah itu dengan anak buahnya diseru memperagakan aksi lebih menarik dan agresif untuk kembali mengukir senyuman di bibir setiap penyokong Merah Kuning.

“Saya tidak boleh bayangkan kenapa penyokong senyap, tapi apa yang saya boleh lakukan adalah dengan memberi mereka senyumam kembali.

“Kami perlu bekerja keras untuk mereka, hanya kami saja boleh lakukannya. Pasukan mesti bekerja keras hingga mereka puas hati dan kembali yakin kepada pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Selangor FC mara ke pentas final Piala Cabaran selepas meraih agregat 2-0 ke atas Penang FC di peringkat separuh akhir.

Kemenangan 1-0 di MBPJ malam tadi adalah yang kedua selepas turut menang dengan keputusan sama di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang dalam separuh akhir pertama sebelum ini.

Mengulas perlawanan di halaman sendiri itu, Kinoshi yang berasal dari Jepun akui berpuas hati biarpun hanya menang tipis.

“Sasaran kami untuk jaringkan satu gol di babak pertama tetapi kita tahu Penang FC sangat agresif dan bermain baik, tapi kami berjaya mengimbangi serangan mereka.

“Tetapi ini juga adalah keputusan di atas segala usaha keras kami menurut saya, mereka (pemain) tidak pernah berputus asa mencabar bola tinggi dan gelecekkan pihak lawan,” katanya.

sumber:- HM

Di perlawanan akhir nanti, Selangor FC akan berdepan PDRM FC dengan final pertama pada 15 Februari di Stadium MBPJ, sebelum aksi timbal balik kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Februari depan.