Pentas akhir Piala Malaysia kian menghampiri kemuncak selepas slot finalis untuk menghiasi pentas final dilengkapkan dengan kehadiran juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang juara empat kali, Sri Pahang FC (SPFC).
Skuad Harimau Selatan mara ke final trofi berprestij itu buat kali kelima berturut-turut sementara skuad Tok Gajah selepas lebih sedekad dengan penampilan terakhir mereka pada 2014.
Menariknya, final pada 26 April depan mengulangi final edisi 2014 dan ketika itu, SPFC mengecewakan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 120 minit perlawanan.
Namun, lebih sedekad berlalu, ‘dejavu’ untuk menyaksikan SPFC mengembalikan ‘tragedi’ sama kepada JDT nampaknya agak mustahil apatah lagi JDT sudah meninggalkan SPFC beribu batu di depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus menyifatkan aksi final kali ini boleh dianggap seperti berat sebelah dengan segala kelebihan lebih memihak kepada skuad bimbingan Hector Bidoglio itu.
“Selepas agak lama tidak ke final Piala Malaysia, ini adalah satu kejayaan buat SPFC tetapi di atas kertas, mereka adalah ‘underdog’ dan ini final yang memang berat sebelah.
“Tidak akan ada perlawanan yang seimbang apabila menentang JDT di final dan kita dapat lihat perkara itu terjadi dengan Selangor FC pada aksi final Piala FA sebelum ini.
“JDT pun turun dengan status sebagai juara bertahan, jadi mereka pasti mahu mengekalkan trofi dan mengelak kejutan seperti yang diterima mereka ketika menentang KL City dalam beberapa edisi sebelum ini,” kata Fauzi.
Di sebalik hakikat itu, Fauzi yang juga bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu menjangkakan final kali ini mungkin memberikan aksi yang berbeza meskipun agak sukar untuk melihat kejutan dilakar terutamanya menentang pasukan dengan kaliber seperti JDT.
“Mungkin SPFC menang menentang JDT pada edisi 2014 tetapi itu sudah terlalu lama. Apa yang sama adalah nama dua pasukan yang bertanding tetapi pemain dan ‘game plan’, semuanya sudah berubah.
“Kualiti pemain, struktur dan cara permainan pun sudah jauh berubah tetapi mungkin ini menjadi perlawanan final yang lain berbanding perlawanan biasa.
“Tumpuan lebih kepada SPFC untuk melakukan sesuatu yang mungkin dapat membantu mereka mengubah keputusan pada final nanti.
sumber:- BH
“Mungkin ada strategi yang sesuai untuk memerangkap JDT tetapi itupun jika mereka mampu mengatasi segala gerakan pemain JDT,” katanya.