sukan

Letshanaa teruskan kemaraan di Indonesia

Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa menampilkan semangat melawan tinggi ketika menyingkirkan Polina Buhrova dari Ukraine di pusingan pertama Masters Indonesia, semalam.

Pemain ranking ke-59 dunia itu yang layak ke undian utama menerusi pusingan kelayakan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 21-23, 21-15, 21-19 ke atas Buhrova yang menghuni ranking ke-51 dunia dalam tempoh 68 minit pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta.

Ini adalah kali ketiga Letshanaa berjaya melangkah ke pusingan kedua kejohanan Super 500 dalam tujuh penampilan selepas turut melakukannya di Terbuka Korea dan Terbuka Australia pada 2023.

Kejayaan menempatkan diri dalam kelompok 16 terakhir pastinya memberi tonik tambahan buat Letshanaa selepas berdepan kritikan daripada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, awal bulan ini yang mendakwa pemain itu suka merungut dan memberi alasan yang menjadi antara faktor dia gagal menyerlah.

Letshanaa akan berdepan pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh bagi perebutan tiket ke suku akhir, hari ini.

Sementara itu, nasib berbeza dialami pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei apabila dia ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut musim ini selepas Terbuka Malaysia.

Kali ini, bekas juara dunia remaja dua kali itu tewas di tangan pemain Taiwan, Hsu Wen Chi 14-21, 21-19, 14-21 dalam tempoh 46 minit.

sumber:- BH

Saingan beregu campuran menyaksikan gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 21-15.