Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia difahamkan tidak berada dalam senarai skuad negara yang akan menggalas cabaran di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), bulan depan.
Sebaliknya, hanya dua wakil profesional yang disenaraikan iaitu beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bagi memperkuatkan pasukan menghadapi pusingan kelayakan Piala Sudirman itu di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Februari ini.
“Pemilihan pemain untuk pasukan kali ini dibuat sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan negara berdasarkan penilaian yang dilakukan ke atas setiap pemain,” kata sumber yang boleh dipercayai kepada BH Sukan.
Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 masih belum membuat penampilan dalam sebarang kejohanan musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan lalu.
Pemain nombor tujuh dunia itu terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia bagi menjalani proses pemulihan kecederaan yang dialaminya.
Ketiadaan Zii Jia bakal menyaksikan tugas perseorangan lelaki utama hampir pasti digalas Leong Jun Hao dengan dua pemain muda, Justin Hoh dan Eugene Ewe dijangka turut berada dalam senarai.
Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga akan memperkuatkan pasukan kali ini selain gandingan Pearly Tan-M Thinaah bagi beregu wanita dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk beregu campuran.
Wakil profesional dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei juga difahamkan tidak berada dalam senarai dengan sandaran diletakkan di atas bahu barisan pemain muda iaitu K Letshanaa dan Wong Ling Ching atau Siti Zulaikha Azmi.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengumumkan senarai penuh pemain skuad negara yang akan beraksi di Qingdao, esok.
Setiap pasukan boleh menyenaraikan 16 pemain yang terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita.
Pada saingan BAMTC kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.
sumber:- BH
Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu mendapat tiket automatik ke Piala Sudirman 2025 yang dijadual berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.