Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berpotensi untuk menjadi juara dunia andai berterusan menampilkan prestasi seperti yang mereka tunjukkan ketika ini.
Pandangan itu disuarakan bekas pemain beregu lelaki kebangsaan, Koo Kien selepas melihat kualiti yang ditunjukkan pasangan nombor satu negara itu selepas muncul juara Terbuka India, semalam.
Kien Keat berkata, tiada yang mustahil buat gandingan itu menjadi wakil kedua Malaysia merangkul gelaran dunia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukannya pada 2022 di Tokyo, Jepun.
Katanya, dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan kedua-dua pemain itu, mereka kini boleh dianggap sebagai beregu yang perlu ditewaskan.
“Sudah tentu dari segi kematangan dalam permainan itu semakin meningkat. Apa yang saya nampak, cara mereka bermain itu sudah lebih terbuka, tidak terlalu fikir untuk menang atau kalah.
“Mereka juga sangat yakin dan tidak ragu-ragu dalam melakukan pukulan-pukulan. Kematangan mereka itu membuatkan mereka tidak terperangkap atau terikut-ikut dengan corak permainan lawan.
“Sze Fei-Izzuddin saya lihat ada senjata tersendiri. Kekuatan mereka adalah Sze Fei mengawal di bahagian depan manakala Izzuddin mengatur serangan dari belakang.
“Jika berterusan seperti ini, saya percaya mereka ada peluang untuk menjadi juara dunia malah saya fikir sedikit masa lagi mungkin mereka akan menjadi beregu nombor satu dunia,” kata Kien Keat yang juga bekas pasangan nombor satu dunia bersama Tan Boon Heong.
Kien Keat yang meraih pelbagai gelaran bersama Boon Heong termasuk pingat emas Sukan Asia 2006 dan Seluruh England 2007 berkata, Izzuddin-Sze Fei dan Aaron-Wooi Yik perlu memanfaatkan peluang yang terhidang selepas pasangan utama dunia yang lain dilihat bergelut dengan prestasi tidak menentu.
“Ini adalah waktu terbaik untuk Sze Fei-Izzuddin dan juga Aaron-Wooi Yik untuk tampil dengan persembahan terbaik mereka.
sumber:- BH
“Sekarang ini saya tidak nampak mana-mana beregu yang ‘outstanding’. Kita tidak boleh ramal siapa beregu dalam kelompok empat terbaik yang boleh ke final.