Detik sukar landa Noor Al-Rawabdeh

PEMAIN import Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh mengakui berdepan detik sukar selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kirinya.

Menurut Noor, dia ketika ini sedang ketika ini sedang dalam fasa pemulihan dan berjauhan dengan keluarga dalam keadaan cedera itu merupakan sesuatu yang amat sukar.

Namun, tonggak tengah berpengalaman itu bersyukur dapat sokongan yang cukup daripada kelab, rakan sepasukan dan orang sekeliling untuk mengharungi tempoh pemulihan tersebut.

“Mereka membantu saya untuk kekal bermotivasi tinggi, dan saya berazam untuk kembali lebih kuat, menyumbang kejayaan kepada pasukan, dan berpeluang membantu Jordan di Kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor mengalami kecederaan tersebut pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC pada 19 Oktober yang lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Berkongsi mengenai sesi pemulihannya, Noor menjelaskan sesi pemulihannya bertambah baik dan yakin dapat kembali beraksi mengikut masa yang ditetapkan.

“Saya percaya, keadaan otot saya sekarang lebih kuat berbanding sebelum ini, hasil daripada pelan pemulihan yang ditetapkan oleh Jabatan Sains Sukan Selangor FC.

“Bagaimanapun, fasa seterusnya akan lebih mencabar, kerana saya akan memulakan latihan asas joging dan berlari, fasa yang amat penting bagi mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi.

“Dengan sokongan penuh daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, saya harap dapat melepasi setiap fasa dengan sempurna dan kembali berlatih bersama rakan sepasukan yang lain,” katanya.

Berdasarkan makluman daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, sesi pemulihan ACL mengambil masa enam ke 12 bulan, bergantung kepada individu.

Dia menjalani pelbagai latihan kekuatan untuk kedua-dua belah lututnya, termasuklah latihan keseimbangan dan koordinasi di Red Giants Medical Centre, selain mendapat rawatan khusus dan terperinci bersama doktor dan ahli fisioterapi pasukan.

Dalam masa yang sama, beliau juga komited melakukan sesi ‘hydrotherapy’ dan rawatan manual terapi sepanjang sembilan minggu yang lalu. Fasa ini juga adalah untuk memastikan atlet dapat mencapai kondisi ‘return to play’ dengan lebih cepat.

sumber:- SH

Selain daripada itu, Noor juga telah mendapat pendedahan lebih mendalam berkenaan nutrisi pemakanan yang diperlukan oleh atlet bagi mengiringi sesi pemulihan ACL dengan lebih sempurna.