sukan

Tidak sampai 24 jam , Vincent buat pusingan U

Tidak sampai 24 jam, bilionair dan taikun terkenal negara, Tan Sri Vincent Tan menarik balik pelawaan untuk bintang bola sepak Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi menyertai dua kelabnya Cardiff City FC dan KV Kortrijk.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas memikirkan semasak-masaknya dari semua aspek demi kepentingan semua pihak.

Menurutnya, ia juga dipengaruhi faktor pengalaman buruk bintang muda, Luqman Hakim Shamsudin selepas mengikat kontrak lima tahun bersama Kortrijk di liga utama Belgium sehingga terpaksa dipinjamkan ke beberapa kelab lain.

“Luqman menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar negara hingga gagal mencapai potensi sebenar walaupun satu ketika dia pemain berbakat besar di zaman remaja.

“Saya seboleh-bolehnya mahu membantu bola sepak Malaysia terutama menerusi kelab saya, tapi pada masa sama saya tidak mahu pisang berbuah kali terhadap Arif Aiman,” katanya kepada Arena Metro.

Akhbar ini semalam melaporkan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad itu sedia menawarkan tempat untuk Arif Aiman Hanapi beraksi di salah satu daripada dua kelab terbabit jika dilepaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas lanjut, Vincent berkata, meskipun menyedari status kedua-dua pemain itu berbeza, beliau berpendapat seeloknya Arif Aiman kekal di JDT buat masa ini.

Pada usia 22 tahun, bintang kelahiran Pahang itu adalah Pemain Paling Bernilai (MPV) di Liga Malaysia buat kali ketiga berturut-turut dan menjadi anak emas pengendali JDT dari Argentina, Hector Bidoglio kerana kelicikannya di sayap kanan.

Ini dibuktikan dengan persembahan cemerlangnya di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit musim ini apabila meledak empat gol menyamai pencapaian bintang dunia, Christiano Ronaldo dari Al Nassar untuk berada di tangga keempat carta penjaring terbanyak.

Nasib Luqman pula berbeza apabila kini beraksi secara pinjaman di kelab liga bawahan Jepun, Yscc Yokohama manakala pada 2023 dipinjamkan ke kelab Iceland, FC Njardvik selepas gagal menembusi skuad utama Kortrijk.

sumber:- HM

Situasi itu merugikan pemain berusia 22 tahun berkenaan sedangkan dia pernah dilabel akhbar terkenal Inggeris The Guardian sebagai antara pemain berbakat dunia pada 2019.