Tiga jawatan dijangka tidak akan dipertandingkan pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), 15 Februari ini.
Penyerang borang pencalonan bakal ditutup pada 5.30 petang esok dan tiga posisi tertinggi membabitkan jawatan presiden dan dua timbalan presiden tidak akan dipertandingkan.
Menurut sumber, ketiadaan pertandingan itu susulan kejayaan tiga calon terbabit meraih pencalonan yang mencukupi, malah melebihi kuota ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan badan induk itu.
Difahamkan, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan kerusinya sebelum ini.
Kejayaan Joehari itu bakal menyaksikan beliau menjadi individu kelapan dalam sejarah FAM sebagai Presiden, malah yang pertama dari Sabah.
Dua lagi calon yang dijangka menang tanpa bertanding adalah Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram untuk jawatan timbalan presiden, sekali gus mengekalkan jawatan disandang untuk penggal ketiga buat Yusoff dan kedua oleh Sivasundaram.
Manakala bagi jawatan naib presiden dan Ahli Jawatankuasa (Exco) bakal menyaksikan persaingan membabitkan penyandang dan calon baharu pada pemilihan kali ini.
“Dijangka jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan ada pertandingan selepas beberapa calon sebelum ini gagal mendapatkan pencalonan mencukupi untuk melayakkan mereka bertanding pada pemilihan itu bulan depan.
“Tetapi untuk jawatan naib presiden dan Exco akan ada pertandingan.
“Esok tarikh tutup pencalonan dan pihak Jawatankuasa Pemilihan akan membuat pengumuman mengenai calon yang bertanding,” kata sumber itu.
Untuk rekod, jawatan presiden memerlukan enam pencalonan daripada 18 ahli gabungan yang layak mengundi kali ini.
sumber:- HM
Bagi jawatan timbalan presiden pula, seseorang itu perlu mendapatkan lima pencalonan diikuti naib presiden empat pencalonan dan tiga pencalonan di peringkat Exco.