sukan

Pemain 17 Tahun pun boleh

Meskipun mengejar pencapaian dalam pertandingan yang disertai, kelab bola sepak di negara ini tidak boleh mengabaikan peranan mereka dalam pembangunan pemain muda.

Selain menyediakan latihan dan fasiliti yang bagus, kelab juga tidak boleh menjadikan usia pemain muda sebagai halangan untuk mereka diberikan pendedahan kepada aksi lebih kompetitif yang setaraf pemain senior.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menjelaskan pemain muda berbakat harus diberikan peluang untuk menunjukkan keupayaan bersaing dengan pemain lebih senior walaupun usia mereka baru mencecah belasan tahun.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibuktikan sebelum ini yang mana Pele dan Norman Whiteside diberikan peluang beraksi di Piala Dunia pada usia 17 tahun.

“Kematangan pemain beraksi tidak terikat pada umur, kadang-kadang pemain umur 17 tahun sudah boleh bermain di peringkat tinggi. Tidak semua pemain, tetapi ada pemain yang boleh dikatakan pemain istimewa, sebab mereka mudah matang.

“Jadi, jangan jadikan umur sebagai satu halangan untuk kita bagi mereka lebih pendedahan. Kalau kita lihat pemain itu bagus dan memang boleh bermain di peringkat lebih tinggi, kita kena bagi dia peluang,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan pembangunan pemain muda adalah tanggungjawab kelab dan bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tunku Mahkota Ismail menjelaskan perkara itu selepas ada pihak yang mendakwa FAM gagal melakukan pembangunan pemain muda hinga menyebabkan Harimau Malaya terpaksa bergantung kepada pemain warisan.

Selain itu, Azlan yang bersetuju dengan kenyataan Tunku Mahkota Ismail turut menganggap kelab harus memperbanyakkan program pembangunan akar umbi termasuk mewujudkan akademi dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berbakat pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan, kelab harus bekerjasama atau mendapatkan bantuan daripada FAM bagi menyediakan modul latihan selain melengkapkan jurulatih dengan program kejurulatihan terbaik.

“Pembangunan ini kena ada guru yang bagus, kalau tiada guru yang bagus bagaimana kita nak lahirkan pemain yang bagus. Kelab kena banyak program pembangunan seperti klinik bola sepak dan ramai juga individu termasuk jurulatih yang mendirikan akademi.

“Namun, FAM pun kena bantu dan pantau yang mana mereka perlu pastikan pengendali akademi dan klinik bola sepak yang dijalankan adalah terdiri daripada jurulatih yang bertauliah.

sumber:- BH

“Malah, jika ada akademi bola sepak yang memang menyerlah, apa salahnya kalau FAM bantu sedikit dari segi kewangan atau apa yang sepatutnya,” katanya.