sukan

Komen tanpa berselindung Brendan Gan buat bakal pemain warisan baharu Malaysia

Pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City, Brendan Gan menegaskan bahawa pemain warisan yang bakal menyertai skuad kebangsaan perlu memiliki semangat patriotik yang tinggi serta kesungguhan untuk bermain demi negara.

Menurut Gan, aura dan semangat yang berbeza akan dapat ditunjukkan oleh pemain warisan di padang apabila mereka memiliki rasa kecintaan yang mendalam terhadap negara. Beliau turut menekankan bahawa peluang mewakili Harimau Malaya merupakan satu penghargaan yang istimewa buat semua pemain, termasuk mereka yang berdarah campuran.

“Mungkin saya tidak mempunyai nasihat khusus, tetapi yang penting mereka perlu menghargai dan menyayangi lencana serta jersi kebangsaan setiap kali beraksi. Mewakili Malaysia adalah satu penghormatan besar, dan ini adalah mesej penting yang perlu difahami oleh setiap pemain baharu,” jelas Gan.

Beliau menambah bahawa selain prestasi cemerlang di padang, pemain juga perlu memiliki semangat patriotik yang tinggi. “Prestasi baik sahaja tidak mencukupi. Anda perlu bermain dengan penuh semangat dan menghormati lencana yang dibawa,” tegasnya.

sumber: BH

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah mengesahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan yang kini beraksi di Eropah telah dikenal pasti untuk memperkuat skuad kebangsaan. Pemain-pemain ini merangkumi pelbagai posisi termasuk pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri, dengan kebanyakan mereka bermain di kawasan Selatan Eropah.