Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi amaran kepada pemain di bawah naungan badan induk itu betapa tindakan tegas akan diambil sekiranya masih terus gagal menghasilkan keputusan seperti yang diharapkan termasuk ke atas pemain bertaraf bintang.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam berkata, selepas pelaburan besar yang dilakukan badan induk itu bagi menjaga kebajikan dan mempersiapkan mereka termasuk membawa masuk jurulatih dari luar negara yang berprofil tinggi, seharusnya tiada lagi alasan daripada pemain yang mereka tidak boleh menampilkan persembahan terbaik dalam kejohanan yang disertai.
Katanya, perkara itu dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Ahli Majlis BAM, hari ini.
“Setiap perbelanjaan yang kita keluarkan adalah pelaburan untuk pemain termasuk membawa masuk jurulatih berprofil tinggi yang dibayar gaji lumayan. Malah, kami membayar pemain dengan gaji yang lumayan.
“Sudah tentu ini adalah pelaburan yang tidak boleh dibazirkan. BAM sudah melakukan yang terbaik, jadi giliran pemain pula perlu berikan yang terbaik.
“Kami tidak mahu mendengar lagi sebarang alasan, tindakan tegas akan diambil sekiranya pemain masih gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan bukan untuk kami tetapi untuk negara.
“Jurulatih perlu nilai sama ada pemain bermain dengan baik atau tidak. Kami akan dengar cadangan daripada jurulatih mengenai tindakan yang perlu diambil,” kata Subramaniam ketika sidang media, hari ini.
Beliau berkata, pemain bintang dalam skuad kebangsaan tidak boleh menjadikan BAM sebagai ‘tebusan’ dengan menganggap badan induk itu tidak berupaya mendapatkan penaja tanpa kehadiran mereka.
“Ada pemain kita yang berfikiran seperti itu, mereka ingat kalau mereka tiada, BAM tidak boleh dapat penaja.
“Kita juga ada langkah-langkah lain, kita ada perancangan kita termasuk memperhebatkan lagi program pembangunan. Jadi, mereka tidak boleh jadikan kami sebagai tebusan.
“Mereka kena capai keputusan terbaik bukan untuk kami tetapi untuk negara. Sekiranya betul-betul sudah tidak boleh, mereka mungkin perlu bersara,” kata Subramaniam.
BAM sebelum ini dilaporkan telah menunaikan permintaan beberapa pemain bintang yang menuntut kenaikan gaji dan elaun yang difahamkan mencecah jutaan ringgit.
sumber:- BH
Malah, BAM sudah membawa jurulatih berprofil tinggi dari luar negara iaitu Kenneth Jonassen dari Denmark yang menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan manakala Herry Iman Pierngadi, hari ini diumumkan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki.