BIARPUN mencatat kemenangan selesa 4-0 ketika berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mahu kesebelasan pemain bersedia dan kekal konsisten bagi mengharungi beberapa aksi sukar dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut Bidoglio, pemain skuad Harimau Selatan itu perlu kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha merealisasikan misi melakar lebih banyak kejayaan yang diidam-idamkan.
“Bagi saya, di sebalik kemenangan, JDT masih perlu terus berkembang kerana masih banyak perlawaan yang akan diharungi.
“Seperti aksi berdepan Sabah FC; ia nyata satu perlawanan sukar terutamanya pada separuh masa pertama namun, pemain dilihat mula bangkit pada separuh masa kedua dan menjaringkan gol.
“Justeru, semangat seperti ini yang kita mahukan dalam usaha untuk pasukan ini terus berkembang pada masa-masa akan datang,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, JDT menang 4-0 ke atas Sabah hasil jaringan Juan Muniz pada minit ke-51 dan 69 selain Bergson da Silva (minit ke-79 penalti) dan minit ke-83.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus gah di puncak Liga Super dangan 49 mata hasil 16 kemenangan, seri sekali setelah mengharungi 17 perlawanan setakat ini.
Sabah FC pula berada pada kedudukan ketiga dengan 29 mata hasil sembilan kemenangan, dua seri dan tewas lima kali setelah mengharungi 16 perlawanan.
Sementara itu, Bidoglio berkata, dia berharap agar bek kental, Feroz Baharudin segera pulih daripada kecederaan dialami.
Katanya, Feroz merupakan antara pemain penting JDT dan kehadirannya dilihat membantu mengukuhkan benteng pertahanan pasukan.
“Kini kita berikan fokus pula kepada benteng pertahanan dan kita mengharapkan agar Feroz segera pulih serta kembali beraksi.
sumber:- SH
“Bagaimanapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memiliki skuad yang besar dan pemain yang berkualiti, Feroz merupakan salah seorang daripada mereka,” katanya.