KL City FC tumbang buat kali pertama dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 selepas tunduk 0-2 di tangan Lion City Sailors FC, malam tadi.
Ini menyaksikan rentak dua kemenangan skuad bimbingan Miroslav Kuljanac disekat wakil Singapura itu yang meraih kemenangan sulung selepas tewas dua kali berturut-turut pada kempen kali ini.
Pada aksi di Stadium Jalan Besar itu, tuan rumah lebih mendominasi permainan namun mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 untuk membuka jaringan.
Berpunca daripada sepakan sudut, tendangan yang diambil Song Ui Yong ditanduk Bailey Wright yang menewaskan Azri Ghani untuk kedudukan 1-0 buat Lion City Sailors FC.
Bersambung babak kedua, segala-galanya seakan serba tidak menjadi buat KL City FC yang bergelut untuk menguji gawang kawalan Mohamad Izwan Mahbud dan lebih parah apabila Lion City Sailors FC mencetak gol kedua menerusi Maxime Lestienne pada minit ke-66.
sumber:- BH
Aksi seterusnya akan berlangsung pada 23 Januari di mana skuad ‘Warga Kota’ akan melayan pendahulu Kumpulan B, Cong An Hanoi FC di laman sendiri sementara Lion City Sailors FC juga beraksi di laman sendiri menentang Buriram United.