sukan

TERKINI : Keputusan Aaron-Wooi Yik berdepan gandingan Taiwan

Apa sudah jadi kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik?

Semuanya serba tidak menjadi buat bekas juara dunia itu ketika ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Pasangan nombor enam dunia itu dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan gandingan Taiwan yang menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 15-21, 18-21 dalam tempoh 47 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.

Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik memberi tentangan sengit pada awal permainan apabila terikat 10-10 namun lawan berjaya mendapat lima mata berturut-turut selepas itu sekali gus memenangi set pertama dengan keputusan 21-14.

Tersentak dengan kekalahan itu, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik berkenaan cuba bangkit di set kedua tetapi masih dilihat goyah dengan kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan sebelum tewas 18-21.

Ini adalah kekalahan pertama Aaron-Wooi Yik kepada pasangan kembar Taiwan itu selepas menang dalam semua dua pertemuan sebelum ini di Terbuka Perancis tahun lalu dan Cabaran Antarabangsa Vietnam 2018.

Kekalahan menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi tahun lalu yang menyaksikan mereka mara sehingga suku akhir.

sumber:- BH

Pasangan itu menjadi sandaran Malaysia yang ketiga tumbang di laman sendiri selepas beregu lelaki nombor satu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah tersingkir di pusingan pertama, kelmarin.