sukan

Terbuka Malaysia hilang seri , pasangan nombor dua dunia dari China turut tumbang

Saingan badminton Terbuka Malaysia yang bertaraf Super 1000 dan menjadi kejohanan pembuka tirai musim ini hilang seri selepas beberapa pemain utama dunia tumbang di pusingan awal.

Antara yang menjadi tumpuan kekalahan juara Olimpik dua kali dari Denmark, Viktor Axelsen yang tersingkir seawal pusingan pertama dalam acara perseorangan lelaki.

Dalam saingan beregu lelaki pula menyaksikan semua pasangan dalam kelompok empat teratas dunia turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan awal.

Ia bermula dengan kekalahan gandingan nombor satu dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen diikuti wakil negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (nombor tiga dunia) dan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto (nombor empat) yang tewas di pusingan pertama, semalam.

Terbaharu, pasangan nombor dua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Malaysia selepas tersingkir di pusingan kedua hari ini.

Kejutan turut berlaku dalam acara beregu campuran apabila pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang terkandas di pusingan kedua.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Rashid Sidek berpandangan, antara faktor yang mungkin menyumbang kepada kegagalan pemain utama dunia menyerlah kali ini disebabkan mereka masih ‘belum panas’.

Katanya, Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama musim ini dan pemain mungkin kesuntukan masa untuk buat persiapan selepas mengharungi jadual padat sepanjang tahun lalu yang turut menyaksikan berlangsungnya Sukan Olimpik Paris 2024 selain saingan Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China hanya berakhir tiga minggu lalu.

“Pada hujung tahun kebiasaannya pemain akan bercuti dan itu mungkin menjejaskan persiapan mereka.

“Seperti Axelsen, dia baru pulih daripada kecederaan (kaki kiri) dan pastinya memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap terbaiknya,” kata Rashid kepada BH Sukan.

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, sebagai kejohanan permulaan musim, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pemain utama bergelut untuk menemui rentak permainan terbaik mereka.

“Dalam graf pastinya akan ada turun naik. Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama dan pemain-pemain pastinya dalam proses mahu dapatkan rentak mereka semula.

“Pemain utama pun manusia biasa juga, kalau memang mereka tidak berada pada tahap prestasi terbaik, buat macam mana pun tidak boleh juga. Mereka bukan sengaja mahu kalah.

“Kita tengok Axelsen, kalau dia tidak berada pada tahap terbaiknya, dia boleh kalah straight set dan nampak seperti dia memang buang ‘game’. Namun, jika dia sudah capai kemuncak prestasi, memang susah mahu kalahkan dia,” katanya.

Tambah Rashid yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, beliau percaya masalah dialami pemain-pemain utama ini tidak akan akan berlarutan untuk tempoh lama dan mereka mampu kembali bangkit mencapai kemuncak prestasi mereka.

“Dari segi teknik dan taktikal, saya tidak nampak ada masalah. Ia lebih kepada bagaimana mereka mahu kekal fokus dan mendapatkan ‘feeling’ beraksi dalam kejohanan itu,” katanya.

sumber:- BH

Pemain utama dunia akan kembali ‘berkumpul’ bagi menghadapi saingan Terbuka India yang akan bermula Selasa ini.