Gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) berbelanja besar apabila bakal mengikat bintang dari Paraguay, Oscar Romero dengan kontrak bernilai lebih RM11 juta.
Perkembangan itu dilaporkan wartawan sukan Argentina, German Gracia Grova dengan kehadiran pemain itu dijangka bakal memperkuat jentera tengah skuad Harimau Selatan bagi menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pemain versatil ini yang bukan sahaja boleh bermain sebagai pemain tengah namun boleh beraksi di bahagian sayap sudah pasti memberikan lebih pilihan kepada JDT untuk merencana strategi mereka.
“Oscar Romero menerima tawaran jutaan dolar daripada JDT. Kontrak setahun dengan nilai AS$2.5 juta (RM11.26 juta),” lapor Grova menerusi platform X.
Bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada JDT mengenai kemasukan pemain itu.
Sebagai rekod, kelab terakhir pemain berusia 32 tahun itu adalah kelab dari Brazil, Botafogo dan semakan menerusi laman sesawang Transfermakrt menyaksikan pemain ini memiliki nilai pasaran sebanyak RM7.96 juta.
Ketika ini, dia bergelar ejen bebas namun selain JDT, ada beberapa kelab turut menyatakan minat untuk mendapatkan pemain itu seperti Cerro Porteno dan Junior de Barranquilla.
sumber:- BH
Pemain itu juga meraih 58 penampilan bersama Paraguay dan meledak empat gol.