Pasukan bola sepak paling berjaya di China dan bekas juara Asia, Guangzhou FC disingkirkan daripada liga profesional negara berkenaan kerana ‘sejarah hutang yang banyak’, kata kelab berkenaan.
Penyingkiran dialami juara lapan kali Liga Super China (CSL) yang pernah dikendali Marcello Lippi dan Fabio Cannavaro itu sebagai memberi isyarat kepada pengakhiran era perlawanan domestik mereka di China.
Berpuluh kelab China termasuk bekas juara CSL, Jiangsu Suning turut terjerumus dengan hutang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kelab mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan akses kepada liga profesional,” kata Guangzhou FC yang dikenali sebagai Guangzhou Evergrande.
“Namun disebabkan bebanan sejarah hutang yang banyak, dana yang kami kumpul tidak mencukupi untuk menampungnya.”
Persatuan Bolasepak China (CFA) mengeluarkan Guangzhou daripada senarai 49 pasukan yang berada dalam saingan liga profesional China untuk tahun 2025.
Guangzhou pernah mendominasi bola sepak China, apabila merangkul tujuh gelaran CSL secara berturut-turut dari 2011 hingga 2017 dan dinobatkan selaku juara Liga Juara-Juara Asia sebanyak dua kali.
Namun mereka pernah diturunkan ke liga kedua China pada 2022 selepas pemilik majoriti kelab – Evergrande Real Estate Group – berdepan kemelut kewangan pada ketika pasaran hartanah negara berkenaan jatuh menjunam.
Gelaran terakhir diraih kelab berkenaan adalah pada 2019.
Guangzhou dilihat berbelanja besar bagi mendapatkan pemain, memecah rekod perpindahan pemain China sebanyak beberapa kali pada ketika Evergrande Group membuat pelaburan besar untuk skuad berkenaan.
Mereka membayar AS$46 juta (RM206.39 juta), sebelum membuat rekod untuk sebuah pasukan Asia, bagi mendapatkan penyerang Jackson Martinez dari kelab Atletico Madrid pada 2016.
Dalam tempoh berkenaan, mereka mendapatkan khidmat pengendali luar termasuk pemenang Piala Dunia Itali, Lippi dan Cannvaro dan Luiz Felipe Scolari dari Brazil.
Kelab berkenaan dijenamakan semula kepada Guangzhou FC pada 2021 selepas peraturan baharu CFA melarang pasukan memasukkan nama syarikat atau penaja.
sumber:- BH
“Kami memohon maaf kepada penyokong dan semua pihak yang menyokong kelab ini,” kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan. – AFP