sukan

Nama Arif Aiman sekali lagi bikin ‘kecoh’

Laman media sosial sekali lagi ‘kecoh’ apabila mengaitkan nama bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi dengan kelab Iran, Persepolis.

Sebelum ini, media sosial turut tular tentang beberapa pemain Eropah yang dikaitkan memiliki darah Malaysia seperti mana dilaporkan beberapa portal tempatan hingga mencetuskan polimik tentang soal ketepatan dan ketulenan maklumat.

Ia kemudian menyaksikan media arus perdana turut melaporkan hingga menyaksikan beberapa pemain yang dikaitkan itu menafikan hubungan dengan negara ini.

Sekali lagi situasi hampir sama dicetuskan babitkan Arif Aiman dengan Persepolis, meskipun ramai yang mengetahui Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pernah akan melepaskan pemain sayap negara itu.

Terbaharu, laman bola sepak terkemuka seperti Transfermarkt mengaitkan perpindahan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu hingga menyebabkan ribuan penyokong Iran menyerbu laman sosial milik Arif Aiman.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, ribuan komen membanjiri laman sosial Arif Aiman.

Situasi itu turut berjangkit kepada penyokong satu lagi kelab Iran, Tractor FC yang mahu pemain muda berusia 22 tahun itu menyertai mereka.

Untuk rekod, Arif Aiman baharu saja melanjutkan kontrak bersama JDT dan jika benar ada usaha untuk membawa pemain itu keluar, kelab baharu terbabit perlu membayar menebus baki kontrak dan yuran perpindahan yang cukup tinggi.

Malah berdasarkan prestasi terkini Arif Aiman yang cukup membanggakan di JDT, agak sukar untuk skuad Harimau Selatan melepaskannya.

sumber:- HM

Sentuhan Arif Aiman sudah pastinya ditagih JDT terutamanya di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika ini.