Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap akan meneruskan perjuangannya dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024/2025 ini meskipun terpaksa melalui badai dan cabaran penuh berliku berdepan masalah kewangan melibatkan isu gaji yang ditanggung sejak awal tahun lalu.
Pemilik utama Sang Kenari Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, walaupun pelbagai desakan diterimannya agar KDA FC menutup buku sejak awal musim ini sebagai langkah menyelamatkan pasukan dari terus menanggung bebanan hutang lebih besar, namun usaha menyelamatkan pasukan dengan maruah negeri Kedah menjadi pegangan yang kukuh dalam dirinya.
“Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan Alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025.
“Saya komited dan akan menggunakan segala kemampuan serta sumber yang ada sebagai pemegang saham majoriti untuk memastikan kelab ini terus bertahan walaupun dalam serba kekurangan.
“Kami ingin menekankan bahawa pihak KDA FC akan meneruskan penyertaan kami dalam musim ini dengan izin Allah. Usaha ini akan diteruskan,” katanya melalui maklumat yang dihebahkan dalam media rasmi Sang Kenari hari ini.
Mohd Daud juga menegaskan beliau mahu terus berusaha bagi memastikan langkah KDA FC tidak terhenti di tengah jalan sekaligus mempertahankan maruah pasukan yang membawa nama negeri Kedah.
sumber:- BH
“Saya akan terus berusaha mencari dana untuk menjelaskan apa yang tertunggak kepada semua mereka yang berjasa dan yang masih mampu bermain dalam serba kekurangan. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya,” katanya lagi.