Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengakui peningkatan prestasi ditunjukkan pasangan profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memberi inspirasi kepada mereka untuk turut melakukan perkara sama.
Lebih menarik, Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-14 dunia berpeluang untuk membuat perhitungan dengan Izzuddin-Sze Fei yang berada di ranking nombor tiga sekiranya masing-masing berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia yang akan bermula Selasa ini.
“Kalau jumpa mereka di suku akhir, peluang ke separuh akhir tetap ada.
“Namun, kami tidak mahu fikir terlalu jauh, sebaliknya pastikan setiap perlawanan, dari pusingan awal lagi, kami harus bermain dengan baik,” kata Wei Chong ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Izzuddin-Sze Fei mencipta sensasi dalam saingan musim 2024 apabila berjaya merangkul tiga gelaran saingan Jelajah Dunia iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland sebelum muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
Pasangan nombor satu negara itu akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia menentang gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard di pusingan pertama.
Wei Chong-Kai Wun pula diundi bertemu pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan pertama dan ia adalah aksi sulung antara kedua-dua pasangan.
Dalam pada itu, Wei Chong memberitahu bahawa mereka perlu mencipta kejutan terhadap pasangan dalam kelompok lima terbaik dunia untuk melonjakkan kedudukan ranking dunia mereka.
sumber:- BH
“Kalau tidak mampu melakukan kejutan ke atas pasangan pilihan, susah nak mara ke tahap seterusnya. Jadi, fokus kami adalah konsistens dan memberikan yang terbaik,” katanya.