Rodri mengeluarkan kenyataan balas atas pandangan Cristiano Ronaldo yang melabelkan Ballon d’Or sebagai ‘tidak adil’ selepas menobatkan bintang Manchester City itu sebagai pemenang pada Oktober lalu.
Ronaldo mempersoalkan kredibiliti majlis penganugerahan berprestij berkenaan ketika menghadiri Anugerah Bolasepak Global Dubai.
Majlis itu menyaksikan Vinicius Jr diangkat sebagai pemain bola sepak lelaki terbaik manakala Rodri pula dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or di Paris.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu menegaskan yang bintang Real Madrid, Vinicius Jr seharusnya menerima penghormatan berkenaan di atas kejayaan dicapainya pada 2024.
Ronaldo berkata: “Vinicius Jr harus menang Ballon d’Or, pada pandangan saya, ia jelas sama sekali. Ia tidak adil. Sebab itu saya menyukai Anugerah Bolasepak Global, mereka jujur.’
Rodri ditanya mengenai kenyataan Ronaldo berkenaan dalam satu temubual bersama akhbar Sepanyol AS, dengan bintang itu melabelkannya sebagai satu kejutan.
“Ia betul-betul satu kejutan kerana dia lebih tahu berbanding orang lain bagaimana anugerah ini berfungsi, lebih-lebih lagi pemenang sudah pun dipilih,” kata Rodri.
“Tahun ini, wartawan yang mengundi memutuskan yang saya seharusnya menang. Mungkin wartawan yang sama ini turut mengundinya ketika dia menang dan saya membayangkan yang dia juga akan bersetuju.”
Rodri meraih gelaran Ballon d’Or selepas membantu City muncul selaku pasukan pertama memenangi empat gelaran secara berturut-turut di England.
sumber:- BH
Pemain tengah itu turut menjadi ayam tambatan dalam pasukan Luis de la Fuente yang menjuarai Euro 2024 bersama pasukan Sepanyol. – AGENSI