Jurulatih beregu legenda Indonesia, Herry Iman Pierngadi dilihat semakin hampir dan sah untuk menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdasarkan perkongsian status di media sosial miliknya.
Semalam beliau memuat naik status ‘Selamat tinggal…. 2024, terima kasih di atas semua kenangan, selamat datang… 2025, semangat dan lembaran baharu’ sekali gus menguatkan lagi desas-desus beliau akan ke Malaysia.
Malah ada di antara pemain negara berkenaan seperti Mohammad Ahsan memberi komen seakan mengiyakan bahawa Herry bakal berkelana ke Malaysia.
“Jangan lupa ajak saya kalau mau makan musang king,” kata Mohammad Ahsan sebelum dibalas Herry bahawa beliau bersedia untuk mengajak bekas anak buahnya itu.
Malah media Indonesia, detikSport turut mendapatkan pengesahan Herry mengenai statusnya dan beliau memberi reaksi bahawa hanya sedang menunggu draf kontrak sahaja.
“Ya masih tunggu draf kontraknya saja,” ucap Herry dalam jawapan yang ringkas.Kerusi ketua jurulatih beregu lelaki negara kosong selepas Tan Bin Shen akan melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara berkuat kuasa 13 Januari ini selepas menerima tawaran untuk bersama skuad badminton Hong Kong.
Selain Herry, dua lagi nama turut disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Bin Shen iaitu jurulatih dari Denmark, Mathias Boe dan Flandy Limpele dari Indonesia.
Herry adalah jurulatih yang memiliki reputasi besar selepas berjaya melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido serta menghasilkan deretan pasangan bertaraf dunia.
Boe yang juga bekas beregu lelaki nombor satu dunia bersama Carsten Mogensen memainkan peranan penting terhadap kejayaan dilakar pasangan India, Sarwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Di bawah bimbingannya, gandingan itu berjaya memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2022 dan Sukan Asia Hangzhou selain menjadi antara watak penting kejayaan India mencipta sejarah menjulang trofi Piala Thomas 2022.
sumber:- BH
Sementara itu, Flandy yang pernah bersama BAM pada 2020 hingga 2022 berjaya berjaya membantu Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo.