sukan

‘Kalau saya bagus, ambillah saya’ – Faisal

Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim berharap masih ada ruang dan peluang untuk dirinya menyarung jersi Harimau Malaya terutama selepas penstrukturan semula skuad kebangsaan baru-baru ini.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, tahap kecergasan dirinya kini sudah mencapai 100 peratus meskipun pada masa sama mengakui masih berusaha sebaik mungkin untuk kembali mencapai prestasi terbaiknya seperti dulu.

“Saya sudah dapat ‘endurance’ (daya ketahanan) kecergasan saya balik. Saya berharap sangat tahun baharu umur pun sudah berubah ada (nombor) ‘7’ di belakang, insya-Allah saya akan kembali menjadi Faisal Halim.

“Sekarang sudah sampai waktu untuk saya kembali, bagi masa dan ruang untuk saya perbetulkan apa-apa yang ‘berkarat’, saya nak cari lagi sentuhan berbeza seperti jaringan, kawalan bola dan kepantasan.

“Saya perlu kerja keras untuk ‘catch up’ sikit saja lagi. Saya pun sudah main macam normal dan sudah bermain 90 minit (masa penuh),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Faisal bagaimanapun berlapang dada sekiranya tidak mendapat tempat selepas hampir setahun tidak dapat mendapat panggilan kebangsaan disebabkan kecederaan yang dialami dan tetap akan memberi komitmen tertinggi untuk Selangor FC.

Beliau turut berpandangan revolusi Harimau Malaya akan menyuntik semangat dan memberi aura baharu kepada pemain dan ia satu titik perubahan penting untuk memantapkan pasukan dengan barisan pemain berkualiti.

“Saya kira, mudah sahaja. Kalau saya bagus, ambillah saya (beraksi). Kalau saya tak bagus, ketepikan saya. Saya masih ada kelab saya (Selangor FC) dan boleh berusaha dan buat yang terbaik untuk kelab saya,” katanya.

Terdahulu, Faisal ditemui semasa menghadiri Kejohanan Bola Sepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 Tahun anjuran Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim dan Skuad Bola Sepak Rembat Dadah di Mengkuang Titi, Penanti di sini, hari ini.

sumber:- HM

Dia yang sanggup mengorbankan waktu rehat liga turut menjadi jurulatih Akademi Bola Sepak DNA Faisal Halim A dan B yang menyertai kejohanan yang menarik penyertaan secara keseluruhan 18 pasukan termasuk dari Kedah selain Pulau Pinang itu.