sukan

Newcastle United buat Manchester United makin merana

Newcastle United menewaskan Manchester United 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris hasil tandukan awal permainan Alexander Isak dan Joelinton di Old Trafford.

Dengan lima kekalahan dalam enam aksi liga terakhir mereka, Manchester United kekal di tangga ke-14 liga pada 19 mata, kedudukan terburuk di akhir tahun sejak tangga ke-15 pada tahun 1989. Newcastle di tangga kelima pada 32 mata.

“Salah satu saat paling sukar dalam sejarah Manchester United. Ia tempoh yang paling sukar, tetapi kami perlu berjuang untuk perlawanan seterusnya,” kata pengendali Man United, Ruben Amorim.

Isak membuka jaringan pada minit keempat apabila dia menanduk masuk hantaran Lewis Hall dengan pertahanan United, Harry Maguire dan Lisandro Martinez gagal mengawalnya.

Ia adalah gol ke-11 Isak dalam 11 perlawanan, pemain yang menjaringkan paling banyak gol Liga Perdana Inggeris sepanjang bulan ini dengan lapan gol.

Newcastle menambah jaringan pada minit ke-19 dengan jaringan hampir sama, kali ini Anthony Gordon membuat umpanan untuk tandukan Joelinton.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat Newcastle di Old Trafford dalam 40 kunjungan liga, bermula dari tahun 1972.

“Kami tahu peritnya perlawanan ini buat kami daripada segi sejarah. Ia langkah besar buat kami hari ini. Saya rasa kami perlu menang perlawanan sebegini untuk mencapai apa yang kami mahukan dengan lebih kerap,” kata pengendali Newcastle, Eddie Howe.

Ia juga kali pertama sejak tahun 1979, Manchester United tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi liga di laman sendiri.

sumber:- BH

Kesemua 18 gol yang dibolosi dalam semua pertandingan sepanjang Disember adalah yang terbanyak dalam tempoh sebulan sejak Mac 1964 (juga dengan 18 gol). – REUTERS