Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan tindakan melantik Robert Douglas Friend bagi menggalas jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya sebagai keputusan terbaik.
Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang kepada revolusi Harimau Malaya menjelaskan, ia berdasarkan portfolio hebat yang dimiliki bekas pemain kebangsaan Kanada itu
Malah, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, Harimau Selatan sedia menerima Friend seandainya Harimau Malaya tidak memerlukan khidmatnya pada satu hari nanti.
“Keputusan terbaik melantik seorang jutawan, berkelayakan tinggi dengan pengetahuan bola sepak yang bagus. Memiliki hubungan dalam dunia bola sepak dan seseorang yang amat menyukai sukan ini.
“Dengan kelayakan sebegini, jika satu hari nanti Malaysia tidak mahukan lagi khidmatnya, JDT sedia mengalu-alukan beliau dengan tangan terbuka,” tulis Tunku Mahkota Ismail di ruangan Instagram Story, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend, sekali gus menamatkan teka-teki siapa yang akan menggalas tugas selaku CEO Harimau Malaya.
Berdasarkan profil dimilikinya, Rob Friend hadir dengan portfolio hebat dalam usaha untuk membantu membawa skuad Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi dan beliau akan memulakan tugasnya bulan depan.
sumber:- BH
Pada 16 Disember lalu, FAM mengumumkan Peter Cklamovski dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan manakala Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang akan berkuat kuasa, esok.