Tindakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang meminta Josh Brownhill memperjelaskan perkara sebenar mengenai status kewarganegaraannya kepada peminat bola sepak tanah air wajar dipuji.
Susulan daripada permintaan Tunku Mahkota Ismail, kapten Burnley berusia 29 tahun itu mengesahkan bahawa dia tiada pertalian darah dengan Malaysia seperti disebarkan sesetengah pihak sebelum ini.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi laman Instagram berkongsi perbualannya yang meminta Brownhill membuat penjelasan sebenar mengenai dakwaan itu.
Justeru, dengan pengesahan yang dibuat Brownhill, ia menamatkan teka-teki terhadap peminat yang sebelum ini ghairah mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memikat pemain itu untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan perkara itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak terutama peminat supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai ejen pemain turut memuji tindakan Tunku Mahkota Ismail yang meminta Brownhill sendiri menjelaskan kepada peminat mengenai spekulasi membabitkan dirinya.
“Masalah ini banyak di media sosial yang sengaja kaitkan nama pemain, jadi kita tak boleh salahkan sesiapa. Peminat jangan mudah percaya dengan khabar angin.
“Kalau nak dapat pengesahan yang sahih tunggulah dari struktur baharu pasukan kebangsaan yang sedang dibentuk atau FAM, mungkin mereka lebih tahu siapa pemain (warisan).
“Ia bukan juga salah FAM, orang lain yang buat spekulasi (mengenai pemain warisan). Sekarang perkara itu kecoh hingga Tunku Mahkota Ismail yang kena bantu memperjelaskan perkara itu.
“Tidak semua yang disebarkan di media sosial itu betul, ada yang main-main dan kita tak boleh terlalu percaya. Baguslah apabila Tunku Mahkota Ismail minta pemain itu sendiri buat penjelasan dan ini juga iktibar untuk semua,” katanya kepada BH Sukan.
Brownhill menerusi catatan di ruangan Instagram Story miliknya mengesahkan bahawa dia hanya memiliki kewarganegaraan England dan tiada kaitan dengan Malaysia.
“Hanya ingin memperjelaskan situasi mengenai beberapa khabar angin yang tersebar. Malangnya saya hanya memiliki satu kewarganegaraan iaitu Inggeris dan saya bukan warga Malaysia seperti yang difikirkan sesetengah orang.
sumber:- BH
“Saya tidak pasti bagaimana semua ini bermula tetapi saya mahu menjelaskannya. Namun, terima kasih atas sokongan tidak terkira,” kata Brownhill.