sukan

Calon ‘payung terjun’ intai jawatan Presiden FAM

Adakah pemilihan barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung 15 Februari depan bakal menyaksikan pertandingan beberapa ‘calon luar’ yang tidak terbabit dengan ahli gabungan badan induk itu?

Tatkala ‘gelanggang pertarungan’ itu bakal dibuka kurang dua bulan lagi, beberapa nama mula dicanang dan ada juga individu yang menawarkan diri untuk bertanding terutama membabitkan tokoh korporat.

Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM Sayf Ismail, 45, dilaporkan menyuarakan hasrat untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden FAM.

Sayf berkata, beliau sedia bertanding sebagai pilihan ‘wild card’ dan menawarkan kepakarannya bagi menerajui badan induk bola sepak negara itu dengan perspektif berbeza sebagai ‘orang luar’ dalam sukan berkenaan.

Pengarah Eksekutif Tickethotline International, Datuk Azril Mat Drus juga dikatakan sedia mempertimbangkan untuk bertanding dalam pemilihan itu sekiranya mendapat sokongan daripada ahli gabungan.

Sumber memaklumkan kepada BH Sukan, Azril yang juga Penasihat Setiawangsa Rangers FC bagaimanapun akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan lain dan bukannya bagi kerusi Presiden FAM.

“Bertanding itu mungkin, tapi bukan untuk jawatan presiden, mungkin untuk mana-mana jawatan. Sekarang ini tengok apa kehendak ahli gabungan dan beliau (Azril) belum buat keputusan lagi.

“Jika diperlukan, beliau akan buat pertimbangan untuk bertanding atau tidak. Ia kerana apa-apa pun, ahli gabungan yang akan buat keputusan (memilih).

“Tidak semestinya dalam FAM terdiri daripada ahli gabungan sahaja, mana-mana organisasi pun tak semestinya orang dalam sahaja yang layak, kadang-kadang ada juga orang luar. Sekiranya ada kebolehan untuk bawa FAM ke tahap lebih bagus, apa salahnya ambil orang luar,” kata sumber itu.

Hamidin sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden FAM yang disandangnya sejak 2018.

Susulan itu, nama Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dikaitkan sebagai antara calon bagi merebut kerusi nombor satu itu bagi penggal 2025-2029.

sumber:- BH

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini pula menjelaskan bahawa beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan atau tidak.