sukan

Hanya enam pasukan saja layak beraksi di Liga Super musim depan

Saingan Liga Super pada musim depan mungkin malap apabila dikatakan hanya layak dibarisi enam pasukan berdasarkan kepada kemampuan kewangan kelab ketika ini.

Hal ini kerana, berdasarkan kepada pemerhatian Arena Metro, sekurang-kurangnya enam kelab berhempas pulas untuk menyelesaikan isu kewangan dengan tiga pasukan pula pemain beraksi secara percuma untuk tempoh sekurang-kurangnya empat bulan.

Kisah tunggakan gaji yang melanda Liga Super sememang cukup parah menanti rebah kerana dikatakan terdapat pasukan tidak mendapatkan bayaran untuk tempoh lebih tujuh bulan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa pihak berkaitan seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu lebih bersedia dengan kenyataan itu dengan menyingkirkan pasukan yang tidak berhadapan masalah kewangan kronik.

Beliau yang juga pemerhati sukan tempatan berkata, setakat ini hanya enam pasukan saja layak meneruskan saingan di Liga Super berdasarkan kepada struktur kewangan yang kukuh dan kurang masalah membabitkan tunggakan gaji.

“MFL perlu memperkenalkan modul baharu untuk saingan Liga Super pada musim depan dan bersedia perlu menyingkirkan pasukan bermasalah atau tidak mempunyai struktur kewangan kukuh.

“Sebenarnya tiada masalah jika tinggal hanya enam pasukan saja kerana mungkin boleh beraksi di venue berkecuali menerusi kerjasama pihak tertentu sekali gus mengurangkan kos operasi kelab.

“Menerusi kaedah itu dapat beri pengajaran kepada kelab bermasalah selain hanya pasukan berkualiti dan berkemampuan saja meneruskan saingan di Liga Super,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan situasi pasukan Liga Super boleh dikatakan semakin parah apabila merekodkan sekurang-kurangnya enam pasukan mengalami tunggakan gaji sejak pertengahan tahun ini.

sumber:- HM

Lebih ‘menyayat hati’ terdapat tiga pasukan bertaraf gergasi atau dilihat hebat namun hakikatnya mengalami tunggakan gaji mencecah empat bulan sekali gus menyebabkan kelab terbabit hanya menunggu sama rebah.