Ketua pasukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools mengucapkan terima kasih kepada pengendali negara, Pau Marti Vicente yang menamatkan khidmatnya sebaik kempen Malaysia berakhir di peringkat kumpulan saingan Piala Asean.
Menerusi satu komen yang ditinggalkan oleh tonggak kacukan kelahiran Belgium-Malaysia di laman sosial itu, dia menzahirkan ucapan perpisahan kepada khidmat yang dicurahkan Vicente termasuk ketika menjadi penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon.
“Terima kasih untuk segalanya,” tulisnya ringkas di laman sosialnya.
Sebelum ini, Vicente mengesahkan beliau tidak akan lagi bersama skuad negara selepas pasukan kebangsaan gagal melepasi saingan Kumpulan A dalam kempen Piala Asean.
Beliau yang dilantik menggantikan Pan-gon pada Julai lalu hanya sempat membimbing skuad negara selaku ketua jurulatih selama lima bulan.
Walaupun singkat, Vicente tetap berjaya menghadiahkan satu trofi buat skuad Harimau Malaya yang muncul juara Pestabola Merdeka pada September lalu.
Selepas ini, skuad negara bakal mendapat sentuhan pengendali dari Australia, Peter Cklamovski yang akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Januari ini.
sumber:- HM
Untuk rekod, Cklamovski pernah menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan Australia selain melatih kelab Jepun, FC Tokyo.