sukan

Safawi akur dan hormati kontrak

Kapten Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid mengambil pendekatan terbuka jika langkahnya tersekat pada separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Ia kerana pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terikat dengan ‘gentlemen’s agreement’ sekali gus tidak boleh beraksi apabila kedua-dua pasukan bertemu pada 17 Januari dan 1 Februari depan.

Jelas pemain kelahiran Dungun itu, walaupun tidak dapat beraksi disebabkan perjanjian dengan kelab induknya, dia tetap percaya terhadap rakan sepasukannya.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka andai pertemuan suku akhir kedua menentang Negeri Sembilan FC Sabtu lalu adalah penampilan terakhir saya bersama TFC dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Saya hormati kontrak yang dimeterai antara kedua-dua pengurusan yang tidak membenarkan saya bermain apabila berdepan JDT kerana status sebagai pemain pinjaman.

“Tetapi saya percaya dengan rakan sepasukan mereka mampu lakukan yang terbaik pada separuh akhir nanti, anda tidak tahu kesudahannya, jika ada rezeki mana tahu TFC layak ke final.

“Namun jika tersekat di separuh akhir, saya pasrah dengan ketentuan,” ujar pemain yang lebih mesra dipanggil Pawi ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

sumber:- BH

Selain Safawi, turut tidak dapat beraksi pada separuh akhir seorang lagi pemain pinjaman dari JDT, Akhyar Rashid.