sukan

Punca Utama FAM gantung serta-merta

Ketika Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya berbaki dua bulan, ‘drama’ pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu badan induk itu makin menarik apabila satu lagi ahli gabungan FAM digantung.

Kali ini, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula digantung selepas awal bulan ini Persatuan Bolasepak Perlis menerima nasib sama.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh FAM hari ini, badan induk itu memaklumkan KAFA digantung keahliannya sebagai Ahli Gabungan FAM berkuat kuasa serta-merta bermula semalam.

Penggantungan itu seleras dengan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli disebabkan atas kesalahan tatacara pengendalian Kongres KAFA yang dibuat dengan tidak teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul.

“Keputusan penggantungan ini telah dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember 2024 kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028.

“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM ini merupakan satu jawatankuasa ‘adhoc’ yang telah ditubuhkan FAM atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada mesyuarat yang diadakan pada Khamis, 19 Disember 2024 telah memutuskan bahawa Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 adalah tidak sah dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan, selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul,” kata kenyataan itu.

sumber:- HM

Sehubungan itu, FAM meminta KAFA untuk mengadakan semula kongres pemilihan dalam masa terdekat.”Sehubungan itu, FAM telah mengarahkan supaya KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan tersebut secepat mungkin,” katanya.