Pengendali baharu Selangor (SFC), Katsuhito Kinoshi nampaknya sudah berjaya ‘menstabilkan’ pasukan itu selepas mengharungi permulaan goyah di awal kendaliannya sebelum ini.
Selepas dua kekalahan berturut-turut yang menyaksikan The Red Giants tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Piala Malaysia, mereka bangkit dengan lima kemenangan berturut-turut merentasi tiga pertandingan disertai.
Terbaharu, kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam membolehkan mereka mara dengan bergaya ke separuh akhir Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi agregat 8-1.
Pengendali dari Jepun itu boleh dianggap meraih kemenangan berganda kerana bukan setakat pasukan itu kian menghampiri trofi pertama sejak 2015, malah dia gembira apabila dapat memberi peluang kepada semua pemain membuktikan kemampuan mereka di atas padang.
“Kami meraih kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya. Apa yang penting adalah tiada pemain mengalami kecederaan. Selain itu, saya juga berjaya menurunkan semua pemain termasuklah daripada skuad bawah 23 tahun (B-23).
“Jadi ini satu petanda yang baik untuk masa depan Selangor FC. Sudah tentu keputusan seperti ini akan melonjakkan motivasi pemain.
“Selepas ini, kita akan berehat seketika untuk mengurangkan keletihan dan kesakitan kerana kami mengharungi banyak perlawanan sepanjang bulan ini,” katanya.
sumber:- BH
Pada aksi separuh akhir Piala Cabaran MFL, SFC akan berdepan sama ada Penang FC ataupun PT Athletic dengan Penang FC ketika ini berkelebihan 4-0 secara agregat.