sukan

Isyarat dari Salah buat Liverpool gelisah

Mohamed Salah sekali lagi mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya bersama Liverpool apabila pemain bintang Mesir itu berkata dia akan gembira ‘di mana sahaja saya akan menamatkan karier saya’ selepas menjadi inspirasi dalam kemenangan besar 6-3 ke atas Tottenham.

Salah menjaringkan dua gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam aksi memukau di London Utara, sekali gus membantu Liverpool mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan empat mata di puncak liga.

Pada usia 32 tahun, Salah menjadi pemain pertama dalam sejarah EPL mencatat sekurang-kurangnya 10 gol dan 10 bantuan jaringan sebelum Krismas.

Dua golnya juga melonjakkan Salah ke tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool dengan 229 gol dalam semua pertandingan.

Walaupun sumbangan besar Salah kepada pasukan Arne Slot tidak dapat dinafikan, Liverpool masih belum berjaya memujuk penyerang itu untuk menandatangani kontrak baharu, di tengah-tengah spekulasi mengenai masa depannya.

Dengan kontraknya bakal tamat pada penghujung musim ini, Salah akan bebas menandatangani pra kontrak dengan kelab negara lain bermula Januari.

Sebelum ini, Salah beberapa kali membuat kenyataan samar bahawa musim ini mungkin menjadi musim terakhirnya bersama Liverpool.

Sekali lagi, Salah memberikan isyarat yang kabur mengenai masa depannya.

“Ia satu pencapaian hebat di kelab besar seperti ini, tetapi yang paling penting adalah kami memenangi perlawanan. Di mana sahaja saya akan menamatkan karier saya, saya gembira dengannya,” kata Salah kepada Sky Sports.

Salah turut mengesahkan tiada perkembangan baharu mengenai situasi kontraknya, namun Slot pastinya terdesak untuk mengekalkan tonggak utamanya itu yang menjadi nadi Liverpool sepanjang tujuh tahun di Merseyside.

Musim ini sahaja, Salah mencetak 18 gol dalam semua pertandingan, menjadikan dirinya sebagai pemain penting dalam kejayaan Liverpool yang memenangi 21 daripada 25 perlawanan di bawah Slot sejak menggantikan Jurgen Klopp.

sumber:- HM

“Saya tidak memikirkannya sebelum perlawanan, tetapi saya gembira meraihnya. Ia sesuatu yang membanggakan, dan saya akan terus bekerja keras,” tambah Salah mengenai rekodnya mencapai dua digit dalam gol dan bantuan jaringan musim ini.