sukan

Ternyata Pemain tempatan lebih menyerlah berbanding naturalisasi

Keberadaan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan sering menjadi tumpuan perbincangan peminat bola sepak negara dan ia sekali lagi diperkatakan sebaik Malaysia terkandas di peringkat kumpulan Piala Asean Jumaat lalu selepas seri dengan Singapura.

Ramai yang mulai meragui impak mereka, seperti yang diluahkan dalam pandangan terkini oleh bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar.

“Pemain naturalisasi nyata tidak sampai ke tahap antarabangsa yang boleh kita banggakan. Kita terlalu mengharapkan mereka, tapi nampaknya pemain tempatan (Jimmy Raymond dan Fazrul Amir Md Zaman) yang lebih menyerlah,” ujarnya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau menambah, pemain muda juga ada yang beraksi cemerlang dalam kejohanan itu dan kelihatan lebih bersungguh-sungguh serta bermotivasi.

Ujar Azlan, pemain naturalisasi dianggap kurang memanfaatkan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.

Salah satu isu yang diketengahkan ialah sikap pemain naturalisasi yang dilihat tidak benar-benar bersungguh-sungguh apabila mewakili negara.

“Mungkin mereka tidak sepenuh hati atau memang keupayaan mereka setakat itu sahaja. Malah, pemain tempatan kita yang beraksi dalam Piala Asean lebih baik kerana bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau juga menyentuh soal perbezaan jiwa antara pemain naturalisasi dan pemain tempatan.

“Darah-darah di badan kita ini lain dengan mereka. Mereka mungkin tak rasa sepenuh hati macam mana pemain tempatan kita rasa,” tambahnya.

Peluang beraksi di pentas antarabangsa sepatutnya menjadi motivasi untuk pemain naturalisasi menunjukkan kemampuan mereka, bukan sekadar bersandar kepada keistimewaan status yang diberikan.

“Sebagai pemain profesional, mereka patut bermain bersungguh-sungguh. Ini peluang untuk menaikkan nama mereka di mata dunia. Kalau mereka hebat, kelab luar akan buat tawaran,” tegasnya.

Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab lebih bijak memilih pemain naturalisasi yang benar-benar bersemangat dan mampu memberi impak positif kepada skuad negara.

“Jangan pilih sembarangan. Pilih yang betul-betul bersemangat untuk bermain demi negara,” katanya.

Dengan kelompok pemain tempatan yang semakin kompetitif, peminat bola sepak pastinya berharap agar isu ini tidak terus membayangi prestasi Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Pemain naturalisasi pula perlu segera bangkit dan membuktikan mereka layak menyarung jersi kebangsaan.

Semalam bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui bahawa ada pemain muda dan baharu memiliki potensi untuk ‘terbang lebih tinggi’ selepas ini.

sumber:- HM

Vicente mengakui ia satu keistimewaan apabila dapat bekerja bersama pemain yang jelas memiliki banyak potensi untuk terus berkembang menjadi lebih baik.