sukan

Sebenarnya Prestasi 6 bulan Vicente lebih baik

Kegagalan skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 menyaksikan aksi menentang Singapura menjadi perlawanan terakhir buat pengendalinya, Pau Marti Vicente.

Pengendali dari Sepanyol itu mengambil alih teraju selepas Kim Pan Gon meletak jawatan serta-merta pada Julai dan sempat mengendalikan sembilan perlawanan bersama skuad negara sepanjang tempoh kira-kira enam bulan.

Dalam sembilan perlawanan di bawah kendalian Vicente, skuad negara merakam empat kemenangan, tiga keputusan seri dan dua kekalahan namun pencapaiannya boleh dianggap lebih baik berbanding Pan Gon sebelum ini.

Ini kerana Vicente setidak-tidaknya berjaya membimbing skuad negara merangkul Pestabola Merdeka 2024 namun pelbagai kekangan dihadapi menyebabkan hasrat untuk memenangi Piala ASEAN 2024 lebur apabila tersekat sekadar di peringkat kumpulan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Ab Karim menyifatkan pencapaian bekas jurulatih skuad remaja Barcelona itu sebagai ‘boleh tahan’ dalam tempoh singkat dia mengendalikan skuad negara sebagai ketua jurulatih.

Namun, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu optimis Vicente mampu memperkemas ‘resumenya’ jika diberi sokongan penuh bagi mengharungi kempen Piala ASEAN 2024.

“Pada saya, pencapaian Vicente itu ‘not bad’ kerana dalam persiapan yang kurang rapi dan pelbagai kekangan dihadapi, setidak-tidaknya kita hanya tewas dengan Thailand yang kita tahu memang kuasa besar di rantau ini.

“Kita tahu dia berdepan cabaran untuk menyiapkan pasukan dan ini menjadi antara punca dia tidak dapat merencanakan apa yang dia mahu buat bersama skuad kebangsaan, khususnya pada Piala ASEAN ini.

sumber:- BH

“Kalau dia mendapat sokongan penuh daripada semua pihak, mungkin keputusan berbeza kerana dia dapat duduk dalam keadaan ideal sebagai seorang jurulatih,” kata Zulakbal.