Kepakaran Eropah mungkin terus ditagih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila bekas pakar beregu Denmark, Mathias Boe difahamkan menjadi calon pilihan jawatan ketua jurulatih beregu lelaki negara.
Kerusi ‘panas’ ketua jurulatih beregu lelaki negara kosong susulan peletakan jawatan mengejut Tan Bin Shen minggu ini.Bin Shen, bersama beberapa jurulatih Malaysia lain seperti Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng akan menyertai pasukan kejurulatihan Hong Kong yang kini diketuai bekas pemain negara, Wong Chong Hann pada Februari depan.
Jika spekulasi ini menjadi kenyataan, kehadiran Boe bakal menyaksikan dua posisi utama di Akademi Badminton Malaysia (ABM) akan diisi oleh pakar dari Eropah.
Sebelum ini, BAM mengumumkan pelantikan jurulatih dari Denmark, Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang akan memulakan tugas pada 4 Januari depan.
Apa yang pasti usaha mendapatkan Boe pasti tidak mudah.
Jurulatih berusia 44 tahun dan pernah meraih pingat perak di Olimpik London 2012 sebelum ini mengumumkan persaraannya sebagai jurulatih selepas Olimpik Paris 2024 dengan tugasan terakhirnya adalah bersama Persatuan Badminton India (BAI).
Di BAI, Boe memainkan peranan penting dalam kejayaan beregu utama lelaki India, Chirag Shetty dan Satwiksairaj Rankireddy.
Di bawah bimbingannya, pasangan ini berjaya menghuni ranking nombor satu dunia serta meraih gelaran juara Asia, Komanwel dan Sukan Asia.
Begitupun, BAM berkemungkinan boleh memanfaatkan hubungan baik antara Jonassen dengan Boe untuk memujuk bekas jurulatih itu keluar dari persaraannya dan menyertai pasukan kejurulatihan Malaysia.
sumber:- BH
Dan menariknya, tugas melatih skuad beregu lelaki India diambil alih oleh seorang lagi bekas jurulatih Malaysia, Tan Kim Her.BAM sebelum ini mengumumkan Bin Shen akan meninggalkan badan induk berkenaan secara rasmi pada 13 Januari depan.