Ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura menghela nafas lega apabila pasukannya mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 selepas terikat 0-0 dengan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Satu mata yang diraih dalam aksi terakhir Kumpulan A itu menyaksikan Singapura mara ke peringkat separuh akhir selaku naib juara kumpulan di belakang juara bertahan, Thailand.
Ogura menjelaskan, kejayaan pasukannya mara ke separuh akhir Piala ASEAN juga menjadi sejarah buat bola sepak Singapura selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2020.
“Hari ni bagus untuk sejarah bola sepak Singapura. Saya katakan kepada pemain bahawa anda boleh mencipta sejarah dan saya bangga dengan apa yang mereka tunjukkan di atas padang.
“Pemain menunjukkan semangat melawan, bukan sahaja pemain di bahagian pertahanan tetapi juga semua posisi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Thailand mengungguli saingan Kumpulan A dengan merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan selepas menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi terakhir, sekali gus mengumpul 12 mata.
sumber:- BH
Singapura muncul naib juara selepas mengutip tujuh mata, dua mata di depan Malaysia yang menghuni tangga ketiga manakala Kemboja di kedudukan keempat dengan empat mata dan Timor Leste tercorot tanpa sebarang mata.