Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dalam tiga aspek termasuk dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan.
Perkara itu dicapai hasil pertemuan antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Berdasarkan kenyataan di laman X, HRH Crown Prince of Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor mengadakan pertemuan dengan Infantino, semalam.
“Infantino diberi taklimat mengenai projek skuad kebangsaan di Malaysia yang dimulakan oleh Pemangku Sultan Johor dan ia juga mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.
“Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional itu yang dikemudi Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan,” kata kenyataan itu.
Projek skuad kebangsaan bermula kelmarin dengan Tunku Mahkota Ismail menerusi laman Instagram memaklumkan nama ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dan skuad bawah 23 (B-23).
Menerusi perkongsian sama, Tunku Mahkota Ismail memaklumkan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Teknikal bagi struktur baharu Harimau Malaya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Selepas itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain mengemudi pasukan B-23 negara yang mana mereka akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari depan.
Badan induk itu turut memaklumkan pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi terkini untuk memastikan pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan terbaik.
sumber:- BH
“Langkah ini juga diharap dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta memperkukuhkan kecergasan pemain dan membantu pemulihan pemain serta memaksimumkan potensi mereka,” kata FAM.