sukan

Tindakan KL City panggil pulang Paulo Josue berbaloi

Kepulangan Paulo Josue ternyata berbaloi apabila dia membantu Kuala Lumpur (KL) City menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Josue dan pemain pertahanan, Declan Lambert yang berada dalam skuad Harimau Malaya sempena Piala ASEAN 2024 dipanggil pulang oleh KL City bagi memperkuatkan skuad City Boys untuk aksi menentang Negeri Sembilan.

Kapten KL City itu tidak menunggu lama untuk memberi impak apabila dia meledak gol pembukaan menerusi sepakan lencong menarik dari dalam kotak penalti pada minit kesembilan.

Empat minit kemudian, Josue menjadi pencetus jaringan kedua skuad kendalian Miroslav Kuljanac apabila sepakan penjurunya disudahkan dengan tandukan pemain tengah, Brendan Gan.

Negeri Sembilan yang bergelut di kedudukan tercorot berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-36 menerusi Jacque Faye yang menanduk masuk bola sepak penjuru Takumi Sasaki.

Bagaimanapun, tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan pada babak kedua meskipun kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang yang menyaksikan keputusan 2-1 memihak KL City kekal hingga wisel penamat.

sumber:- BH

Keputusan itu menyaksikan KL City naik satu anak tangga ke kedudukan kelapan dengan mengumpul 17 mata manakala Negeri Sembilan hanya menghimpun enam mata selepas 15 perlawanan.