Selepas lima tahun bergelar beregu lelaki nombor satu Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka kehilangan status itu kepada gandingan profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.
Izzuddin-Sze Fei yang ketika ini menghuni tangga ketujuh dunia dijangka melonjak empat anak tangga ke kedudukan ketiga – tertinggi sepanjang kerjaya mereka – menjelang kemas kini terbaru ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.
Lonjakan itu dibantu hasil kejayaan mereka melangkah ke pentas final Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.Situasi itu bakal menyaksikan Izzuddin-Sze Fei memintas kedudukan Aaron-Wooi Yik yang ketika ini berada di tangga kelima dunia sekali gus mengambil alih status beregu lelaki nombor satu negara yang disandang bekas juara dunia itu sejak April 2019.
Cabaran Aaron-Wooi Yik pada Jelajah Dunia Akhir sudah pun berakhir selepas terkandas di peringkat kumpulan.
Malah, kedudukan ranking pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijangka turun satu anak tangga di kedudukan keenam.
Izzuddin-Sze Fei ketika ini menikmati perjalanan paling gemilang dalam kerjaya mereka selepas merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia – Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik musim ini.
Mereka yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu berpeluang menambah koleksi kejuaraan itu sekiranya memenangi aksi final Jelajah Dunia Akhir, hari ini (print tukar kepada semalam) menentang gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
sumber:- BH
Kejuaraan bakal menyaksikan mereka meraih hadiah wang tunai sebanyak AS$210,000 (RM934,700) manakala jika hanya naib juara akan membawa pulang AS$100,000 (RM445,018).