sukan

Hadiah perpisahan paling manis sebelum ‘gantung raket’

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memberi tentangan sengit sebelum tewas di tangan juara Olimpik Paris 2024 yang juga wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada aksi final Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, petang tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Tang Jie-Ee Wei tidak memberi laluan mudah kepada Si Wei-Ya Qiong yang mendapat sokongan padu daripada ribuan penyokong yang hadir di stadium.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei akhirnya terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-14, 17-21 dalam tempoh 75 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking nombor lapan dunia terlepas peluang untuk mencipta sejarah menjadi wakil beregu campuran pertama negara merangkul gelaran Jelajah Dunia Akhir.

Bagaimanapun, mereka sudah pun mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi beregu campuran pertama Malaysia yang melangkah ke final kejohanan akhir musim itu.

Tang Jie-Ee Wei kali ini juga berjaya sekurang-kurangnya memenangi satu set selepas sebelum ini tewas dalam semua empat pertemuan di tangan gandingan nombor tiga dunia berkenaan secara straight set.

Bagi Si Wei, gelaran keempat Jelajah Dunia Akhir kali ini bersama Ya Qiong menjadi hadiah perpisahan bermakna buat dirinya dengan aksi di Hangzhou menjadi kejohanan terakhirnya sebelum ‘menggantung raket’.

sumber:- BH

Si Wei-Ya Qiong sebelum ini turut muncul juara pada edisi 2019, 2022 dan 2023.Selaku juara Si Wei-Ya Qiong membawa pulang hadiah wang tunai AS$210,000 (RM934,688) manakala Tang Jie-Ee Wei AS$100,000 (RM445,089).