Selepas bertarung selama satu jam 21 minit, tiket final Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 akhirnya menjadi milik beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei biarpun lawan enam kali berada di mata akhir set penentuan.
Pasangan nombor tujuh dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk menyingkirkan gandingan Indonesia yang menghuni ranking nombor empat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi separuh akhir di Gimnasium Olimpik Hangzhou di China, sebentar tadi.
Selepas tewas set pertama 17-21, Izzuddin-Sze Fei bangkit memenangi set kedua 21-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kedua-dua pasangan berjaya memukau penonton menerusi pertarungan epik sepanjang set penentuan dengan Fajar-Rian enam kali berada di mata akhir bermula 20-19, 21-20, 22-21, 23-22, 24-23 dan 25-24 tetapi semuanya berjaya dinafikan Izzuddin-Sze Fei yang terus menerus menyamakan kedudukan sehinggalah 25 sama.
Izzuddin-Sze Fei berjaya meraih mata akhir pertama selepas mendahului 26-25 dan berjaya disudahkan dengan baik untuk menoktahkan perlawanan dengan kemenangan 27-25 apabila pukulan drive Izzuddin ke garisan belakang gagal dibalas pemain lawan selepas satu rali panjang.
Ia membolehkan mereka merekod kemenangan ketiga berturut-turut ke atas gandingan Indonesia itu musim ini.”Satu perlawanan yang cukup sengit dan kredit kepada penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami. Kami hanya bermain seperti biasa dan terus mencuba dalam perlawanan itu.
“Kami mengharungi musim yang cukup hebat tahun ini tetapi perjuangan masih belum selesai kerana kami perlu memberikan sepenuh fokus untuk perlawanan (akhir) esok,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menanti mereka di perlawanan akhir esok pemenang antara beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen .
sumber:- BH
Musim ini, Izzuddin-Sze Fei berjaya melakar tiga gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.