sukan

Pemain lawan tidak lagi boleh berlari – Josue

Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue mengakui keyakinannya tidak pernah goyah apabila optimis skuad Harimau Malaya mampu bangkit untuk menewaskan Timor Leste pada aksi kedua Kumpulan A Piala AFF 2024, malam tadi.

Pemain KL City FC itu memulakan rentak kebangkitan skuad kebangsaan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-73 selepas Timor Leste mendahului 2-1 menerusi jaringan pantas Olagar Xavier dan Joao Pedro pada masa tambahan babak pertama.

Dia kemudiannya meledak gol kemenangan pada minit ke-83 sekali gus membolehkan skuad bimbingan Pau Marti Vicente meraih kemenangan pertama pada kempen kali ini.

“Saya yakin kerana pasukan lawan tidak lagi boleh berlari. Kita boleh lihat beberapa pemain mereka mula kejang. Jadi kami pastikan yang kami boleh beraksi dengan baik untuk menyudahkan peluang yang dicipta.

“Kita hampir menjaringkan beberapa gol dan akhirnya, kita mendapatkan gol yang dicari. Kita akan gunakan momentum di sini untuk berdepan Thailand nanti,” katanya.

Dalam masa sama, Josue berkata, barisan pemain senior akan terus membantu pemain muda dalam skuad Harimau Malaya kali ini untuk berdepan dengan tekanan dan juga jangkaan tinggi diletakkan oleh penyokong.

“Kita akan sentiasa membantu dan menyokong mereka. Mereka sudah berikan persembahan yang terbaik. Ini kali pertama kita beraksi dengan pemain muda dan kita juga hanya mengharungi persiapan yang singkat.

sumber:- BH

“Kita akan terbang ke Thailand dan mengharungi satu lagi perlawanan selepas ini. Jadi tidak mudah untuk melakukan segala apa yang dirancang oleh barisan kejurulatihan,” katanya.