sukan

“Undian kumpulan Zii Jia cukup mencabar “

KEJOHANAN Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China yang menyingkap tirai pada Rabu disifatkan sebagai pentas terbaik barisan pemain negara melonjakkan prestasi ke tahap luar biasa.

Malah, bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menegaskan pentas yang menghimpunkan jagoan terbaik pelbagai kejuaraan Siri Jelajah BWF juga menuntut penampilan barisan pemain negara lebih agresif bukan sekadar persembahan biasa.

“Ini merupakan kejohanan terakhir bagi tahun ini yang menuntut setiap pemain memberikan persembahan terbaik 100 peratus.

“Setiap mereka tidak boleh lagi mempunyai mentaliti negatif seperti bimbang akan kalah atau sebagainya kerana mereka sudah menempatkan diri dalam kalangan terbaik.

“Semangat melawan tidak mengenal erti kalah harus lebih tinggi dari kebiasaan sebelum ini, selain game plan juga perlu lebih baik lagi kerana dalam kejohanan ini semua yang bertanding mahu menang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

James yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara juga berharap Lee Zii Jia menampilkan persembahan lebih konsisten berdepan Li Shifeng (China), Anders Antonsen (Denmark) dan Chou Tien-chen.

“Undian kumpulan Zii Jia cukup mencabar sebenarnya kerana mereka pernah bertemu sesama sendiri sebelum ini, jadi sekali lagi dia perlu melakukan persediaan lebih luar biasa baik aspek psikologi, mental dan fizikal.

“Berbaki masa yang ada dia yang memiliki pakej kelebihan fizikal dan tenaga untuk bergelar juara perlu meningkatkan keyakinan diri dalam gelanggang yang akan mempengaruhi game plannya.

“Sekiranya kalah perlawanan pertama dia seharusnya bingkas mencari punca dan bangkit perlawanan seterusnya. Begitu juga andai menang perlawanan pertama dia perlu mengekalkan corak game plan sama,” katanya yang percaya pemain perlu turun dengan mentaliti menang dalam setiap perlawanan.

Jelas James lagi bagi pasangan beregu, komunikasi berkesan dalam kalangan pemain adalah penting kerana ia akan mempengaruhi pola permainan.

“Sememangnya komunikasi penting dalam kalangan pemain beregu kerana secara psikologi akan mempengaruhi rakan sepasukan.

sumber:- SH

“Kelemahan atau kekurangan dalam pertandingan yang dihadapi pasangan sebenarnya dapat diperbaiki dengan komunikasi sesama mereka,” katanya