Penyerang muda negara, Fergus Tierney menyelamatkan maruah Harimau Malaya apabila jaringannya membantu skuad itu mengikat Kemboja 2-2, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata dari Stadium Olimpik, Phnom Penh bagi aksi pertama Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024.
Kemboja dilihat lebih menguasai permainan dalam 25 minit pertama dengan memperoleh beberapa peluang namun gagal menjelmakan sebarang jaringan.
Percubaan terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-28 menerusi rembatan deras Endrick Dos Santos dari luar kotak penalti yang memaksa penjaga gol, Dara Vireak melayangkan badan untuk menyelamatkan gawang Kemboja.
Enam minit kemudian, Harimau Malaya berjaya berada di depan apabila Stuart Wilkin melakukan tandukan terbang untuk menyudahkan hantaran daripada Daniel Ting.
Kegagalan Jimmy Raymond melakukan tampanan lebih kemas pada minit ke-52 mengundang padah apabila bola itu dirampas Kim Sokyuth sebelum dia membuat hantaran kepada Abdel Kader Coulibaly untuk menghasilkan gol penyamaan Kemboja.
Malah, Kemboja yang berada di ranking 180 dunia berjaya mendahului selepas Ty Sa meledak gol kedua pada minit ke-60, sekali gus memberi tekanan kepada Harimau Malaya.
Pemain gantian, Tierney menyelamatkan maruah skuad negara yang berada di ranking 132 dunia apabila rembatannya pada minit ke-73 menghasilkan jaringan penyamaan dan menjadi gol pertama penyerang berusia 21 tahun itu bersama pasukan senior Harimau Malaya.
Ia bagaimanapun menjadi keputusan seri pertama skuad negara berdepan Kemboja selepas merekodkan kemenangan bersih dalam 12 pertembungan terakhir sejak 1971.
sumber:- BH
Anak buah Pau Marti Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste bagi aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.