Siapa bakal menggantikan Pau Marti Vicente untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya kini menjadi menjadi persoalan di kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Hal ini kerana, sebelum ini Vicente mengumumkan bahawa Piala Asean 2024 adalah tugasan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan.
Pengundurannya daripada mengendalikan skuad Harimau Malaya adalah kerana keputusan yang dibuat susulan penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Ketika ini, terdapat dua nama yang dicanang bakal menyandang jawatan terbabit membabitkan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dan Esteban Solari.
Dua nama terbabit menjadi sebutan berikutan masing-masing sudah meninggalkan kelab mereka namun tidak menyebut destinasi seterusnya pada masa akan datang.
Mora secara rasmi meninggalkan York United manakala Solari pula baru-baru ini mengumumkan sudah lagi tidak bersama kelab Chile, CD Everton selepas tempoh 9 bulan mengendalikan pasukan itu.
Namun, menurut sumber, kemungkinan seorang lagi individu berasal dari Australia turut berada dalam radar untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengendali Harimau Malaya.
Katanya, individu terbabit cukup berpengalaman di pentas Eropah dan juga pernah berada dalam barisan kejurulatihan sebuah kelab di Liga Perdana Inggeris.
“Ramai yang menyebut Mora namun dikatakan mungkin jurulatih berusia 45 tahun itu tidak berada dalam senarai pengganti Vicente.
“Ada individu lain turut berada dalam senarai dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat ini termasuklah berkaitan struktur baru Harimau Malaya,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Mengikut rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemungkinan akan mengumumkan struktur baharu Harimau Malaya dalam tempoh terdekat ini.
Perubahan besar-besaran dalam sistem pengurusan skuad Harimau Malaya adalah cetusan idea daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sekali gus menyaksikan pasukan kebangsaan akan berwajah baharu.
Selain spekulasi calon bagi jawatan ketua jurulatih, bekas pemain Everton dan Australia, Tim Cahill turut dikaitkan bakal berada dalam struktur baharu Harimau Malaya.
sumber:- HM
Sementara itu, bekas pengendali Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain pula dikatakan bakal berada dalam barisan kejurulatihan skuad bawah 23 tahun negara.